Dr Mohd Asri Zainul Abidin, satu nama yang cukup popular dan kontroversi dengan pandangannya yang dilihat berbeza dengan aliran pemikiran perdana di Malaysia. Kini, namanya kembali menjadi panas apabila beliau mengadakan sidang akhbar tergembar bagi menjawab pertuduhan yang dilembarkan oleh Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) dalam Memorandum Bantahan kepada YDA Sultan Mizan terhadap tawaran lantikan beliau pada jawatan YDP YADIM. Namanya semakin hangat apabila beliau ditahan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dengan diiringi sekumpulan anggota Polis semasa mengadakan sesi kuliah agama disebuah rumah atas alasan berceramah tanpa mendapat tauliah.
Hal ini menyebabkan penulis merasa marah dan kecewa dengan isu yang telah berlaku. Berbekalkan dengan ruang penulisan di dalam blog ini, penulis ingin mengutarakan beberapa persoalan yang timbul lantaran isu yang timbul ini.
1. "Kami kesal dengan Mohd Asri memperbesarkan dan mencari publisiti terhadap perkara yang menjadi hak dan budi bicara mutlak Yang di-Pertuan Agong dan kerajaan. Ini adalah isu dalaman yang sepatutnya diselesaikan secara perbincangan tertutup dan berhikmah," katanya (Presiden PGSM, Mohamad Isa Abd Ralip). (petikan: Bharian)
Komentar penulis:
Memperbesarkan dan mencari publisiti? Apakah pihak PGSM menganggap hal ini perkara yang kecil? Siapakah yang mula-mula menghebohkan pada umum hal ini? penulis berpandangan, tuduhan terhadap Dr Asri iaitu mencerca Imam Ghazali, Imam Nawawi serta menolak hadis Imam Bukhari adalah bukan sesuatu yang boleh dipandang ‘kecil’. Apakah tuduhan yang dilembarkan oleh pihak PGSM ini bersabitkan bukti? Dimanakah kredibiliti PGSM yang dikenali umum sebagai amat mementingkan ketepatan hujah dan bukti? Penulis difahamkan, isu ini menjadi besar apabila pihak PGSM menyiarkan salinan Memorandum Bantahan perlantikan Dr Asri sebagai YDP YADIM di laman web rasmi mereka.
2. “Seramai 35 anggota JAIS telah datang ke premis tersebut dengan tiga buah van pada jam 9.45 malam. Kedatangan mereka diiringi lebih 25 orang polis beruniform dalam kereta patrol.” (petikan: Mstar)

Gambar ehsan Mstar
Komentar penulis:
Apakah rasionalnya pihak JAIS menahan Dr Asri dengan kehadiran sejumlah anggota yang begitu ramai disamping diiringi oleh anggota Polis? Apakah kuliah Dr Asri dilihat sebagai satu bentuk ancaman yang begitu serius pada keselamatan negara sehingga perlu diiringi oleh 25 anggota Polis?
3. “Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menahan bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin selepas beliau menyampaikan kuliah di sebuah kediaman di Taman Sri Ukay dekat sini, malam ini. Penahanan Mohd. Asri pada pukul 12 tengah malam itu disebabkan beliau menyampaikan kuliah tanpa tauliah.” (petikan: Utusan)
Komentar penulis:
Apakah definisi tauliah menurut pihak JAIS? Apakah tauliah itu berbentuk sijil kelayakkan untuk menyampaikan ceramah agama? Jika itu yang menjadi ukuran, maka rasional atas alasan itu amat memalukan. Selaku bekas Mufti bagi kerajaan negeri Perlis, pastinya Dr Asri berkelayakkan dari sudut akademik dan sarjana. Untuk makluman, Dr Asri merupakan pensyarah agama di Universiti Sains Malaysia (USM), ijazah pertamanya daripada Universiti Jordon dalam bidang syariah dan bahasa arab, mendapat Phd dalam bidang agama daripada Universiti Islam Malaysia (UIA).
4. “Dua orang pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengadakan perbincangan dengan Dr. Mohd Asri Zainul Abidin di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, di sini, kira-kira pukul 11.40 pagi ini, setelah lebih dua jam bekas Mufti Perlis itu menunggu ketibaan mereka…. "Bila saya periksa dengan dua pegawai JAIS itu, tiada pendakwaan dibuat atau difailkan di mahkamah. Oleh sebab itu pertuduhan terdahulu dibatalkan dan akan digantikan dengan satu perjanjian baru untuk menyiasat Dr.Asri. Namun begitu, kami kesal dengan apa yang berlaku," kata Zulkifli yang ditemui di perkarangan mahkamah sejurus berakhirnya perbincangan tersebut." (petikan: Mstar)

Komentar penulis:
Dimaklumkan pada awalnya, Dr Asri diminta hadir ke mahkamah pada pukul 9.00 pagi, namun pihak JAIS sendiri gagal memenuhi arahan yang diberikannya sendiri. Kemudian diberitahu, pihak mahkamah tidak menerima sebarang pendakwaan oleh pihak JAIS terhadap Dr Asri. Penantian yang begitu lama menjadi sia-sia. Sewajarnya pihak JAIS bersikap professional terhadap isu ini.
KESIMPULAN:
1. Penulis merasakan, isu ini sebenarnya didasari oleh tuduhan kepada Dr Asri yang menyatakan beliau sebenarnya menganut fahaman wahabi. Isu wahabi ini telah penulis ulas, sila rujuk artikel Wahabi: Istilah yang ditakuti
2. Pertembungan ini melibatkan dua kelompok, golongan konservatif dan juga golongan pembaharuan. Hal ini seakan mengulangi sejarah, dan ia kelihatan berkitaran.
3. Golongan yang mewakili agama sewajarnya bersifat profesional dan rasional dalam mengambil sebarang tindakan. Ini kerana, setiap tindakan akan memberikan implikasi yang besar terhadap imej Islam itu sendiri.
4. Dalam berhadapan dengan isu seperti ini, sikap dan akhlak penyokong haruslah dijaga. Jika sebelah pihak yang melakukan fitnah, sebelah pihak yang lain jangan pula berkelakuan 2x5. Jagalah adab dalam menjaga hubungan sesama Islam.
5. Sokongan pelbagai pihak yang diterima oleh Dr Asri hadir daripada YAB Perdana Menteri, Senator Dato’ Jamil Khir, Ketua Pemuda PAS, Ketua Pemuda UMNO, Dato’ Saifuddin Abdullah, Datin Paduka Marina Mahathir, Sister In Islam, Tun Abdullah, Tun Mahathir dan lain-lain menunjukkan kesatuan pemimpin politik dalam hal ini.
6. Moga kebenaran akan terungkap.









